JASIN: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu, Aliah Qistina Budiyanto, 16, ditemukan selamat di Kampar, Perak, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, remaja itu ditemui kira-kira pukul 3.30 petang di pangsapuri rakan lelakinya berusia 20-an yang berasal dari Kulim, Kedah.
“Hasil soal siasat remaja tersebut mengaku secara sukarela mengikut rakannya itu dan tinggal bersamanya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Lelaki terbabit turut membantu pihak polis untuk membawa gadis terbabit pulang ke Melaka, semalam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang ibu mengharapkan anak sulungnya yang dilaporkan hilang dari rumah di Taman Maju di sini dapat pulang semula ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.
Noor Fatimahtul Zaharah Talib, 40, berkata, anaknya yang belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah masih belum ditemui selepas pelbagai usaha dibuat untuk mencarinya.
Tambah Ahmad Jamil, siasatan lanjut berhubung kes itu akan diteruskan bagi mengenal pasti sekiranya membabitkan unsur kesalahan lain.
“Polis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penyaluran maklumat untuk mengesan remaja berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN