Aktiviti tarik pukat disenaraikan dalam kalendar pelancongan Terengganu - Utusan Malaysia

Aktiviti tarik pukat disenaraikan dalam kalendar pelancongan Terengganu

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang memeriahkan Program Tarik Pukat Raya 2023 di Pantai Kekabu, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Aktiviti tarik pukat yang menjadi tradisi nelayan di kawasan pantai di negeri ini akan dijadikan program tahunan kerajaan negeri apabila bakal disenaraikan dalam kalendar pelancongan Terengganu mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keunikan amalan tradisi itu mampu menarik kedatangan pelancong selain mempertahankan aktiviti berkenaan untuk dikenali generasi muda.

“Aktiviti tarik pukat ini sudah biasa bagi komuniti dan nelayan pantai. Bukan sekadar kebersamaan dan merapatkan ukhuwah masyarakat semata-mata tetapi rutin tradisi ini sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri sebagai produk pelancongan.

“Kerajaan negeri akan jadikan acara rasmi tahunan, dimasukkan dalam kalendar tahunan mulai tahun depan. Selain Pantai Pulau Kekabu, Marang ini kita akan kenal pasti beberapa lokasi lain yang sesuai bagi dianjurkan program tarik pukat.

“Program Tarik Pukat Raya 2023 hari ini dianjurkan untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri apatah lagi dengan kehadiran perantau yang pulang ke kampung halaman,” katanya selepas Program Tarik Pukat Raya 2023 di Pantai Pulau Kebabu, di sini hari ini.

Seramai 300 pengunjung memeriahkan acara tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Hassan Awang, 65, berkata, aktiviti tarik pukat menjadi tradisi komuniti di kawasan pantai berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu dan biasanya bermula selepas berakhir musim tengkujuh.

“Rutin tradisi ini rancak bermula April hingga Oktober setiap tahun sewaktu ‘musim teduh’ iaitu selepas tamat musim tengkujuh, ketika ini keadaan ombak tenang dan reda. Tempoh ini juga, ikan gemar berada berhampiran pantai.

“Aktiviti ini jadi medan masyarakat erat silaturahim. Hasil tangkapan pula akan dibahagi terlebih dahulu, selebihnya barulah dijual. Pukat digunakan pula sepanjang kira-kira 500 meter serta memerlukan lebih ramai kru,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya