SHAH ALAM: Akta Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1976 (Akta 173) dan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 boleh dipinda supaya bersesuaian dengan perkembangan semasa yang dinamik.
Menurut Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi, semasa kedua-dua akta digubal pada tahun 1970-an ia mengambil kira suasana politik dan perkembangan media semasa itu.
“Pindaan AUKU yang akan dibuat adalah mengikut kesesuaian semasa dan kita menyokong cadangan pihak Menteri Pengajian Tinggi. Sudah pasti UiTM turut akan melakukan perkara yang sama.
“Namun UiTM adalah sebuah universiti yang unik, sudah pasti akan ada perbezaan-perbezaan yang akan diputuskan pengurusan UiTM sebelum ia dibawa pandangan tersebut kepada pihak jawatankuasa terlibat,” katanya ketika ditemui pada Program Warisan Bubur Lambuk HEP di Kolej Mawar UiTM, di sini hari ini.
Terdahulu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor memaklumkan pindan terhadap Akta UiTM 1976 akan dilakukan untuk diselaraskan dengan pindaan AUKU jika diluluskan.
Dalam pada itu, Mohd. Sazili menjelaskan UiTM tidak tertakluk kepada AUKU tetapi banyak fasal-fasal dalam Akta UiTM mirip AUKU, justeru sebagai permulaan satu sesi libat urus melibatkan 241 anggota Majlis Perwakilan Pelajar akan diadakan di sini.
“Selepas Hari Raya Aidilfitri juga kita akan mengadakan sesi Jelajah Akta UiTM melibatkan semua pelajar dan pensyarah. Pensyarah dilibatkan sama kerana mereka turut sama bertanggungjawab dengan pembangunan pelajar.
“Kita mengadakan program ini semua, untuk mendapatkan sebanyak mungkin pandangan mahasiswa dari seluruh kampus dan pelbagai persatuan berhubung pindaan Akta UiTM,” ujarnya.
Tambahnya lagi, setelah semua dapatan dikumpulkan satu deraf akan dibuat bagi dikemukakan kepada pengurusan tertinggi sebelum diperhalusi untuk diserahkan kepada KPT. – UTUSAN