PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka mewujudkan satu akta khusus yang dapat menawarkan perkhidmatan bantuan guaman percuma kepada rakyat miskin terlibat dalam kes jenayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, untuk itu beberapa sesi bakal dianjurkan pihaknya termasuk Program Libat Urus Bantuan Guaman Bagi Kes Jenayah di Malaysia yang berlangsung bermula hari ini sehingga esok.
“Antara objektifnya ialah meneliti keperluan penggubalan Akta Pembelaan Awam dan syor bagi mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.
Langkah itu susulan pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri yang turut menyentuh ikhtiar akta khusus digubal agar rakyat yang susah diberi akses kepada keadilan.
Ketika ini, bukan semua rakyat terutama dalam kalangan berpendapatan B40 mampu menanggung kos guaman mahal untuk menghadapi perbicaraan kes jenayah di mahkamah.
Mereka terpaksa bergantung ihsan daripada penyedia perkhidmatan luar seperti Jabatan Bantuan Guaman, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan Klinik Bantuan Guaman.
Mengulas lanjut, Azalina menambah, usaha terbaharu itu dijangka mampu menambah baik selain dapat mereformasikan perkhidmatan bantuan guaman kes jenayah di negara ini.
Malahan, sesi libat urus tersebut ujarnya, diharapkan mampu mengumpul segala input dan pandangan para peserta mengenai beberapa persoalan dasar yang berkaitan isu itu.
“Ini termasuk dari segi kesesuaian dibentuk akta khusus, tahap kesediaan penggubalan, keterbatasan, kebaikan, cabaran pelaksanaan dan mengenal pasti keperluan,” jelasnya.
Apabila akta itu dibentuk tambahnya, maka Pejabat Pembelaan Awam perlu diwujudkan agar sistem efektif perkhidmatan bantuan guaman kepada rakyat miskin dapat dipastikan. – UTUSAN