PETALING JAYA: Orang ramai berpeluang menyaksikan konsert Aina Abdul secara percuma sempena Konsert Minggu Ini (KMI) yang disiarkan pada pukul 9 malam, 29 April ini.
Program yang sudah menjalani rakaman lebih awal di Auditorium Perdana, Angkasapuri bakal menampilkan penyanyi undangan seperti Amir Masdi dan Tuju.
Penerbit KMI, Rashidah Ali berkata, penyanyi lagu Sumpah itu bakal mempersembahkan 14 lagu sepanjang konsert yang berlangsung selama satu jam setengah di TV2.
“Selain berduet dengan rakan artis, Aina bakal memberi kejutan dengan menyanyikan lagu Kpop serta lagu-lagu hits dan lagu bahasa Inggeris ciptaan dirinya sendiri.
“Ini adalah kali pertama Aina diundang sebagai artis utama bagi KMI, sebelum ini dia pernah diundang sebagai artis jemputan semasa segmen KMI penyanyi lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semasa rakaman konsert tersebut, Shida berkata, dia terharu dengan sambutan menggalakkan sehingga ada peminat yang sanggup tiba seawal pukul 3 petang walaupun sesi rakaman bermula pada sebelah malam.
“Hampir 1,000 penonton yang sanggup datang menyaksikan sesi rakaman walaupun tidak mendapat tempat duduk dan sanggup duduk di tepi tangga dan lantai auditorium.
“Ini membuktikan Aina bukan sahaja mendapat sokongan daripada peminatnya sendiri, tetapi mempunyai kelompok peminat tersendiri yang sanggup menunggu sehingga sesi rakaman selesai,” katanya.
KMI yang sudah bersiaran selama lapan musim mencatatkan rating tontonan yang memberangsangkan sehingga pernah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai majlis anugerah.
Untuk rekod, Rashidah sendiri pernah memenangi Anugerah Skrin 2019 bagi kategori Rancangan Hiburan TV Terbaik semasa penganjuran Konsert Ratu 2.0 yang membariskan Ella, Ziana Zain dan Siti Nordiana.