Aidilfitri: Selangor tawar jualan murah lima produk asas - Utusan Malaysia

Aidilfitri: Selangor tawar jualan murah lima produk asas

IZHAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menawarkan harga murah bagi ayam, telur, daging, beras dan minyak masak sempena Jualan Mega Ehsan Aidilfitri bermula esok. 

Jualan murah lima barangan keperluan asas itu menawarkan penjimatan harga sebanyak 30 peratus berbanding pasaran sedia ada meliputi kuantiti barangan lebih banyak termasuk lebih 36,000 ayam berbanding penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam negeri, Izham Hashim berkata, program khas di 23 lokasi itu dilaksanakan menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

“Jualan keseluruhan dianggarkan RM1.5 juta termasuk subsidi daripada kerajaan negeri berjumlah RM375,000. Subsidi itu akan disalurkan kepada tiga agensi berkenaan mengikut jumlah barangan yang dijual nanti,” katanya, hari ini.

Jualan mega itu menawarkan harga ayam standard hanya RM10 seekor dan daging pejal segar RM35 per kilogram (kg). Sementara telur ayam Gred B pula ditawarkan dengan RM10 sepapan (30 biji), manakala beras hanya RM10 (pek 5kg) dan minyak masak (5kg) pada harga RM25.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, program berkenaan merupakan kesinambungan Program JER yang dilaksanakan pihaknya sejak September tahun lalu.

“Program JER mendapat sambutan amat menggalakkan apabila semua produk segar habis terjual di setiap lokasi jualan. 

“Justeru, kami berusaha mendapatkan stok produk segar yang lebih banyak bagi membantu meringankan beban rakyat B40 di Selangor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya