Aidilfitri: Lebih 3 juta kenderaan guna Lebuhraya KL-Karak, LPT1 - Utusan Malaysia

Aidilfitri: Lebih 3 juta kenderaan guna Lebuhraya KL-Karak, LPT1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menjangkakan lebih tiga juta kenderaan dijangka masuk ke Pantai Timur menggunakan kedua-dua lebuh rayanya menjelang musim perayaan ini. 

Susulan itu, ANIH Berhad hari ini mengeluarkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) bermula dari 19 April sehingga 1 Mei memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Buruh.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, jumlah trafik ke Pantai Timur akan mengalami peningkatan bermula dari 19 April hingga 21 April, manakala kesesakan trafik menghala ke ibu negara pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei 2023. 

“Pengguna lebuh raya sudah pasti akan mengambil peluang cuti yang panjang ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga di kampung dan menziarahi sahabat handai. 

“Pihak kami berharap agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan jangkaan aliran trafik meningkat semasa musim perayaan kepada lebih tiga juta kenderaan di KLK dan LPT1. 

“Kami akan membuat edaran TTA di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong pada 16 April ini selain membuat hantaran di laman sosial ANIH BERHAD sebagai rujukan pengguna lebuh raya,” katanya dalam kenyataan. 

Radzimah berkata, ANIH Berhad komited dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini, termasuklah dengan menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongannya di plaza tol serta menempatkan seramai lebih 140 anggota RELA di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya. 

Selain itu, katanya, pihaknya juga meningkatkan jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik sebanyak 20 peratus dan memperbanyakkan rondaan bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh tersebut.

“Sebelum memulakan perjalanan, ingatan penting untuk para pengguna agar memastikan baki e-Wallet dan kad Touch N’Go mencukupi demi mengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol,” katanya. 

Jelas beliau, pihak ANIH Berhad juga bersiap sedia memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya jika ada berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diduga dengan bantuan dan kerjasama daripada pasukan Pasukan Respon Kecemasan   (ERT) iaitu daripada pasukan St John Ambulance , Bomba dan Polis.

“Demi keselesaan dan keselamatan, para pemandu dinasihatkan agar sentiasa memandu secara berhemah dan berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah sekiranya perlu. 

“Patuhi saranan papan tanda jalan dan had laju yang telah ditetapkan serta arahan petugas lebuh raya demi keselamatan semua”, ujarnya. 

Pengguna lebuh raya KLK dan LPT1 yang ingin mendapatkan informasi tepat dan terkini disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur), Twitter, (@LPTTrafik) Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia). 

Sekiranya berlaku kecemasan, orang ramai diminta menghubungi LPT-Line di talian 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88-7752.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya