Agong, Raja Permaisuri ceriakan bazar Ramadan Tanjong Tokong - Utusan Malaysia

Agong, Raja Permaisuri ceriakan bazar Ramadan Tanjong Tokong

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menceriakan peniaga dan pengunjung ketika berkenaan melawat bazar Ramadan Tanjong Tokong, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa melawat bazar Ramadan di Tanjong Tokong sini hari ini.

Ketibaan Seri Paduka berdua kira-kira pukul 4 petang itu disambut oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu jelas menceriakan kira-kira 1,000 pengunjung dan peniaga di bazar berkenaan, malah baginda berdua turut mengedarkan bubur lambuk kepada para pengunjung bertuah di bazar berkenaan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berada di Pulau Pinang dalam lawatan tiga hari sehingga Sabtu ini, dan dijadual berangkat menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Mutiara di sini petang ini.

Seorang peniaga daging bakar dan kuih qasidah, Amerudin Shaharudin, 32, berkata, melihat kelibat baginda berdua di bazar berkenaan merupakan detik manis yang tidak dapat dilupakan baginya.

“Saya rasa amat gembira hari ini dapat melihat dan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, malah Permaisuri turut membeli daging bakar dan kuih qasidah yang saya jual.

”Baginda Permaisuri beritahu kuih qasidah seperti ini juga merupakan kuih tradisi di Pahang, kehadiran baginda berdua ternyata menceriakan suasana di bazar Ramadan ini,” katanya.

Seorang peniaga yang menjual satar, Mohd. Hanif Zairuddin, 27, pula berkata, dia sangat teruja apabila melihat pasangan diraja itu melawat bazar Ramadan berkenaan petang ini.

“Saya bagaikan tidak percaya melihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berada di bazar ini, saya memang terkejut dan dalam masa sama sangat teruja.

“Baginda berdua amat mesra dengan para peniaga dan pengunjung, inilah kenangan yang tidak dapat saya lupakan sepanjang berniaga di bazar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Kalsom Abdul Majid, 55, berkata, dia dimaklumkan mengenai kehadiran pasangan diraja itu oleh salah seorang rakannya yang berniaga di bazar tersebut.

”Kebetulan rumah saya berdekatan dengan bazar jadi saya tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan lebih dekat lagi dengan pemimpin kesayangan ramai ini.

”Baginda berdua amat peramah dan melayan rakyat jelata yang mahu bergambar bersama baginda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya