MARANG: Agihan kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesa kira-kira 85 hingga 90 peratus, setakat ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan semula baki kerusi yang masih belum diputuskan akan diadakan seminggu selepas sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, persetujuan agihan-agihan kerusi akan dipertandingan dalam PRN nanti dicapai hasil rundingan bersama antara kepimpinan Pas, Bersatu dan Gerakan dengan mengambil kira pelbagai faktor.
“Setakat ini hanya tinggal satu atau dua kerusi sahaja di setiap negeri yang keputusannya belum dibuat kepimpinan tertinggi partti.
“Kita ada aturan tersendiri, ada yang mengenai ‘status quo’, ada yang melihat jentera mana lebih kuat di satu-satu tempat dan ada calon berpotensi serta berwibawa.
“Paling penting apabila kita berbincang dengan rakan Bersatu dan Gerakan, keutamaan ialah hendak maksimumkan kemenangan sama ada atas nama PAS atau PN di negeri-negeri yang bertanding gunakan lambang PN dan Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tarik Pukat Raya 2023 di Pantai Pulau Kekabu, di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri berkenaan akan dibubarkan sebelum tempoh tamat hari terakhir pada Jun ini dan tarikh berkenaan tidak jauh berbeza dengan Kelantan.
Terengganu mungkin akan bubar selepas Kelantan. Kita sudah bersedia dengan jentera di seluruh DUN,” ujarnya.
Mengulas penggunaan lambang parti, beliau berkata, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan lambang PAS, manakala empat negeri lagi akan menggunakan lambang PN seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Sebelum ini, enam negeri dilaporkan sepakat membubarkan DUN pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.
Enam negeri itu membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu. – UTUSAN