PUTRAJAYA: Syarikat perencah makanan, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ACISB) terus memenuhi tanggungjawab sosialnya dengan mengagihkan kira-kira 4,000 bekas bubur lambuk kepada warga kerja Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kementerian Kewangan (MOF) serta orang ramai.
Pengurus Jenama dan Promosi ACISB, Roshidi Zabidi berkata, sebanyak 12 periuk bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong menerusi program Bubur Lambuk Adabi sejak pukul 10 pagi bersama kakitangan JANM, MOF serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
“Kita sudah agihkan lebih 60,000 bekas bubur lambuk untuk Kuala Lumpur dan Selangor sahaja sepanjang bulan Ramadan tahun ini hasil kerjasama dengan rakan strategik iaitu syarikat korporat serta kementerian.
“Tapi untuk jumlah keseluruhan, kira-kira 300,000 bekas telah pun diagihkan di seluruh negara.
“Pada masa sama, kita juga bekerjasama dengan pasar raya terpilih di setiap negeri untuk mereka agihkan bubur lambuk kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program Bubur Lambuk Adabi di JANM semalam .
Hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Akauntan Negara Malaysia, Datuk Dr. Yacob Mustafa.
Mengulas lanjut, Roshidi berkata, program agihan bubur lambuk itu merupakan jalinan kerjasama kali kedua bersama MOF dan kelima dengan Angkasa.
Berkongsi perancangan pada tahun hadapan, Roshidi memaklumkan, Adabi mahu terus mengembangkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka bersama kementerian-kementerian lain termasuk Tourism Malaysia.
“Program bubur lambuk ini memang sangat sinonim dengan Adabi, walaupun sebelum masuk bulan Ramadan sudah ada yang bertanya untuk tampil bersama-sama menjayakannya,” ujarnya.
Roshidi berkata, selain aktiviti bergotong-royong memasak bubur lambuk, Adabi tanpa henti terus mendekati pelbagai golongan sepanjang bulan puasa ini dengan menganjurkan program ‘Sahur Jangan Tak Sahur’ bersama
Adabi, rewang serta menyantuni rumah anak-anak yatim dan asnaf. Jelasnya, program Sahur Jangan Tak Sahur itu melibatkan beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta serta balai bomba dan balai polis melibatkan sumbangan kira-kira 700 pek sahur yang dimasak chef pada setiap malam sebelum ia mula diagihkan sekitar pukul 2 pagi.- UTUSAN