KUALA LUMPUR: Datuk A.Aida menegaskan beliau serik dan tidak akan lagi bekerjasama dengan pelakon, Amelia Henderson selepas tindakannya menarik diri saat akhir daripada membintangi salah sebuah drama terbitan syarikat milik penerbit tersebut.
Kata A.Aida, dia berharap saman yang dikenakan terhadap Amelia menjadi pengajaran kepada semua pelakon agar menghormati kontrak yang telah ditandatangani kedua pihak.
“Kejadian ini pertama kali berlaku kepada saya sepanjang menjadi penerbit. Esok nak shoot, malam sebelumnya tarik diri.
“Ya tuhan, ini sesuatu yang membuatkan saya nak ke mahkamah untuk ambil tindakan kerana tindakan (Amelia) itu tidak boleh diterima,” katanya.
Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, hari ini mengarahkan Amelia untuk membayar ganti rugi lebih RM200,000 kerana melanggar kontrak perjanjian yang ditandatanganinya dengan syarikat A.Aida Production Sdn. Bhd.
Pelakon tersebut juga diarahkan agar membuat permohonan maaf dan menurunkan video yang mengandungi fitnah terhadap syarikat penerbitan tersebut di Instagram.
Amelia dan seorang lagi pelakon, Idris Khan menerima tindakan saman selepas melanggar kontrak sebuah drama yang ditandatangani mereka dengan syarikat milik produser tersebut.
Namun, saman terhadap Idris digugurkan apabila kedua pihak mengambil pendekatan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.