PETALING JAYA: Sebanyak 93 peratus daripada 3,464 responden memberikan ulasan positif berkenaan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran di Pulau Pinang.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapat hasil itu daripada pameran yang diadakan secara fizikal di empat pejabat utama iaitu Perpustakaan Jabatan Alam Sekitar lbu Pejabat, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan Permatang Damar Laut.
“Hasil daripada pameran awam tersebut, 3,464 ulasan awam telah direkodkan dan 93 peratus daripada responden tersebut memberikan ulasan yang positif.
“Antaranya seperti projek yang dicadangkan tersebut dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, pembangunan ekonomi dan memberikan faedah kepada nelayan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, JAS turut mengarahkan Penggerak Projek untuk melaksanakan pameran awam kali kedua semasa penerimaan Laporan EIA (Revision Number 2) iaitu bagi tempoh 21 November 2022 sehingga 4 Januari 2023.
Katanya, sebanyak 799 ulasan orang awam telah diterima sepanjang tempoh pameran awam tersebut dan 73.7 peratus daripada responden yang diterima telah memberi ulasan yang positif terhadap cadangan pembangunan projek tersebut.
Laporan EIA mengenai projek bertarikh 29 April 2022 telah dipamerkan untuk ulasan awam bermula 20 Mei 2022 hingga 18 Jun 2022 secara hibrid.
Pameran Laporan EIA itu juga dilaksanakan secara dalam talian (online) di Facebook, lnstagram, laman web dan Environmental Knowledge Management Center (EKMC), JAS.
Projek PSI melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA yang diluluskan pada 25 Jun 2019, tetapi terdapat rayuan sehingga keputusan itu dibatalkan. Laporan baharu diserahkan pada 29 April 2022.
PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas. – UTUSAN