7 dituduh terlibat aktiviti perjudian - Utusan Malaysia

7 dituduh terlibat aktiviti perjudian

ANG CHUN Pun berbual dengan anak guamnya yang berdepan pertuduhan melibatkan aktiviti perjudian di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Dua individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menjalankan transaksi mesin perjudian tahun lalu.

Tan Gaik See, 47, dan Lee Eng Kah, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa menguruskan dan mengadakan transaksi dengan 17 buah mesin judi pada 28 Disember lalu.

Gaik See dan Lee Eng dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 4.18 petang di Econsave, kawasan perindustrian Teras Jaya.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu di mahkamah sama, lima lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berjudi atas talian di rumah judi terbuka pada 28 Disember lalu.

Kelima-lima tertuduh yang berusia antara 23 sehingga 62 tahun itu didakwa berjudi dalam talian di rumah judi terbuka di tempat dan masa yang sama.

Rosnee kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 seorang dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani manakala ketujuh-tujuh tertuduh diwakili peguambela Ang Chun Pun.

Mahkamah menetapkan 31 Mei depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya