71 syarat projek tambak laut selari Akta Alam Sekitar - Utusan Malaysia

71 syarat projek tambak laut selari Akta Alam Sekitar

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kesemua 71 syarat yang ditetapkan untuk kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Penang South Island (PSI) adalah selari dengan Akta Alam Sekitar sedia ada di negara ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kesemua 71 syarat yang dikenakan itu akan dipatuhi oleh kerajaan negeri serta rakan pengendali projek PSI bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan.

”Antara syarat tersebut ialah pematuhan kepada Akta Alam Sekitar dari segi kerja-kerja pengorekan dan penambakan, kawalan pencemaran udara, air dan bunyi, pelan tindak balas kecemasan di tapak projek dan di luar tapak serta penyediaan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) dan lain-lain.

”Tiada apa yang perlu didedahkan lagi kerana saya sudah dedahkan semuanya sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan projek PSI yang melibatkan tambakan laut seluas kira-kira 1,700 hektar bagi membina tiga buah pulau buatan itu telah memperoleh kelulusan EIA daripada JAS.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan komuniti nelayan setempat yang mendakwa projek itu bakal menjejaskan pendapatan mereka kerana mengganggu hidupan marin di kawasan tersebut.

EIA pertama untuk projek PSI diluluskan pada 2019 tetapi dibatalkan pada 2021 sebelum rakan kongsi pelaksana projek, SRS Consortium menyerahkan EIA baharu dan diluluskan JAS secara rasmi pada 11 April lalu dengan 71 syarat.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri dan rakan pengendali projek PSI juga perlu bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan yang dikenakan oleh JAS berhubung projek PSI itu.

”Inilah syarat ke-71 yang diletakkan di dalam syarat kelulusan EIA yang mana mana kongsi projek mesti mematuhi sebarang syarat dan keperluan tambahan yang ditetapkan oleh JAS mengikut Akta Alam Sekitar,” katanya.

Tambah beliau, kesemua pertimbangan teknikal bagi projek itu telah melalui pelbagai agensi dan jawatankuasa kerajaan untuk EIA baharu.

”Sekiranya projek ini tidak dibenarkan untuk memulakan kerja, bagaimana untuk kita membuktikan sama ada dapat mematuhi syarat yang ditetapkan atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Kon Yeow, mana-mana pihak boleh mengemukakan rayuan atau bantahan berhubung projek PSI itu dan butiran lanjut mengenai projek tersebut boleh didapati di laman web Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (penanginfra.com). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN