5,000 pelita raya terangi Kampung Budaya Terengganu - Utusan Malaysia

5,000 pelita raya terangi Kampung Budaya Terengganu

SEORANG kanak-kanak tertarik melihat pelita raya yang dipasang sempena program Pelita Raya Terengganu 2023 di Kampung Budaya Terengganu dekat Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 5,000 pelita raya tradisional akan menerangi pekarangan Kampung Budaya Terengganu dekat Muzium Negeri, Losong, di sini sempena program Pelita Raya Terengganu 2023 di perkampungan tersebut bermula malam ini hingga 18 April depan.

Pengarah Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, pelita-pelita sumbu tersebut akan dipasang oleh lapan daerah di negeri ini yang menyertai program tersebut bertemakan ‘Comeynya Peliter’.

Menurutnya, sebahagian pelita berkenaan dipasang dengan rekaan replika dan dekorasi mengikut identiti setiap daerah terlibat bagi menceria serta memeriahkan program tersebut.

“Pelita-pelita tradisi yang menghiasi suasana malam di Kampung Budaya Terengganu itu menggunakan barangan terpakai.

“Antara jenis pelita yang akan dipasang adalah pelita buluh, pelita buah kepala dan pelita buah kekabu,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan tapak program Pelita Raya Terengganu 2023 di sini, malam tadi.

Fadli Yusof memberitahu, lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program yang berlangsung selama lima hari itu.

Selain itu, katanya, penganjuran kali ketiga program tersebut pada tahun ini membawa sedikit kelainan apabila pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis juadah tradisional yang dijual di tapak program tersebut.

“Sebahagian kuih-kuih tradisional itu hanya terdapat di daerah-daerah berkenaan yang sukar semakin ditemui pada masa ini,” ujarnya.

Tambahnya, pengunjung yang hadir menyaksikan cahaya pelita-pelita tersebut juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan seperti pencak silat, dikir barat dan wayang kulit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya