GEORGE TOWN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengagihkan sumbangan berjumlah RM231,000 kepada 462 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang kurang berkemampuan menerusi program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin.
PTPTN dalam kenyataan berkata, pelaksanaan program terbabit adalah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan USM bagi memastikan penerima adalah dari kumpulan sasaran yang layak.
“Bantuan kewangan sebanyak RM500 secara ‘one off’ akan disalurkan ke dalam akaun bank mahasiswa.
“Diharapkan inisiatif ini memberi sinar kepada para mahasiswa untuk terus mencipta kejayaan hebat dalam akademik dan sahsiah, sekali gus menjadi kebanggaan ibu dan ayah,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, majlis Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada mahasiswa telah diadakan di Masjid Al-Malik Khalid sempena Majlis Iftar USM di sini semalam.
Penyampaian bantuan itu disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid. – UTUSAN