KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 4,320 naskhah dan bahan al-Quran tanpa perakuan di seluruh negara pada sepanjang Ramadan ini.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, pihaknya menganggarkan nilai keseluruhan rampasan menerusi Op Mulia itu sebanyak RM250,000.
Menurut beliau, naskhah dan bahan al-Quran tersebut dipercayai dicetak serta dibawa masuk dari negara jiran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesanan Percetakan al-Quran KDN.
“Op Mulia dibuat bertujuan membanteras pengedaran dan penjualan al-Quran serta bahan al-Quran tanpa perakuan yang menyalahi Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986.
“Modus operandi premis yang diperiksa adalah mereka mengedar dan menjual al-Quran termasuk al-Quran digital sebagai sumber pendapatan utama secara fizikal serta melalui atas talian.
“Amalan membaca al-Quran tanpa kelulusan dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat berkaitan, sebutan, bacaan dan maksud yang tidak tepat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Nik Yusaimi menjelaskan, sepanjang tempoh itu juga lapan peniaga ditahan bersama barang rampasan untuk disiasat di bawah Seksyen 7(1) dan Seksyen 8(1) APTQ 1986.
Beliau berkata, terdapat premis yang sudah beroperasi dan menjalankan perniagaan tanpa perakuan itu sejak tahun lalu termasuk seorang lelaki yang ditahan di daerah Besut dekat sini.
Tambahnya lagi, sehingga kini terdapat 916 pruf akhir teks al-Quran di Malaysia yang telah diluluskan KDN untuk dijual, dimiliki atau diedarkan dalam kalangan masyarakat.
“Naskhah dan bahan al-Quran di pasaran yang tiada kelulusan ini tidak mendapat semakan pakar. Jadi orang ramai diseru menyemak hologram KDN terlebih dahulu pada naskah tersebut.
“KDN tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas dan membawa pihak terlibat dengan aktiviti ini ke muka pengadilan serta di dakwa mengikut lunas undang-undang negara,” katanya. – UTUSAN