40 individu didakwa ceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang

40 individu didakwa ceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang

SEBAHAGIAN warga asing yang didakwa menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seramai 40 individu termasuk 35 warga asing dari China, Nepal dan Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini selepas menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, pada Januari lalu.

Dua warga tempatan, Ho Chung Meng, 54, dan Poh Chu Yuan, 21, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Tiga lagi warga tempatan termasuk seorang wanita, Wong Siew Lin, 58; Tai Chan Weng, 56, dan Wong Hing Nam, 59, pula tidak direkodkan sebarang pertuduhan kerana tidak memahami bahasa Melayu.

Pengakuan juga tidak direkodkan terhadap dua lelaki dari China, dua lelaki Nepal serta 31 lelaki warga Myanmar yang berusia antara 18 hingga 50 tahun kerana turut tidak memahami bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal iaitu Borang 6, antara pukul 9 malam, 31 Januari hingga 3 pagi, 1 Februari lalu.

Kesemua tertuduh melakukan kesalahan di bawah subseksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang diterima pakai oleh Negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum bawah subseksyen 47 (4) Enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Wan Hazlin Suraya Wan Sharif; Noor Husnita Mohd. Radzi dan Naliatul Huzaimi Ab. Rasip, manakala tujuh daripada tertuduh diwakili peguam Lee Keng Fatt.

Najwa memerintahkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap lima tertuduh warga tempatan dan masing-masing RM7,000 kepada dua lelaki China dengan dua penjamin warga Malaysia serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Seramai 31 lelaki Myanmar dan dua warga Nepal pula tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana sedang menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen akibat tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Mahkamah turut menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan jurubahasa.

Awal Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan elemen nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang dipercayai dicuri lagi oleh pihak tidak bertanggungjawab susulan serbuan dilakukan pihak berkuasa pada hujung Januari lalu.

Dalam operasi dike­tuai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen, lebih 50 individu terma­suk warga asing ditahan dan penguatkuasa turut me­nemukan buku dipercayai digunakan untuk tujuan merekod pengeluaran nadir bumi di tapak haram berkenaan.

Pada 3 Oktober tahun lalu, akhbar ini secara eksklusif mendedahkan negara mungkin mengalami kerugian yang tinggi apabila hasil nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang terbabit dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya