PUTRAJAYA: Sebanyak 30 jenis barangan ditetapkan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 yang akan bermula Sabtu ini sehingga 30 April depan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, pelaksanaan skim tersebut dijalankan tujuh hari sebelum, dua hari semasa dan tujuh hari selepas perayaan Aidilfitri.
Katanya, sebanyak 24 jenis barangan dikawal di bawah skim berkenaan termasuk enam jenis barangan daripada jenis ayam dan telur di bawah penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari lalu.
“Tempoh pelaksanaan skim ini membolehkan pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran,” katanya pada pengumuman SHMMP Hari Raya Puasa 2023 di sini hari ini.
Salahuddin turut berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi harga barangan kawalan yang dikuat kuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
“Pegawai-pegawai penguatkuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap aduan pengguna,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, KPDN sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut.
Justeru, beliau berharap rakyat tidak membuat pembelian panik selain tidak perlu tergesa-gesa mendapatkan keperluan barangan menjelang hari raya Aidilfitri.
Sebanyak 24 barangan yang dikawal di bawah skim harga tersebut adalah daging lembu tempatan kecuali daging batang pinang (Semenanjung sahaja), daging lembu import (Sarawak sahaja), daging kerbau import dari India, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol dan ikan demudok.
Selain itu, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India (ros), bawang kecil merah India, ubi kentang import (China), cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut. – UTUSAN