PUTRAJAYA: Pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan siswazah, berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan memenuhi syarat pelantikan secara tetap.
Itu antara kriteria utama ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pengambilan pegawai perubatan tetap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kementerian komited dan akan menyusul perkara ini agar urusan perjawatan dan pelantikan dapat diuruskan secara teratur dan berkesan dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata, KKM juga sedang memperhalusi isu lain berkaitan pegawai perubatan kontrak termasuk maklum balas yang dikumpul ketika sesi ‘townhall’ pada 22 Februari lalu.
“Perkara itu akan dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang ditubuhkan berdasarkan keputusan kerajaan pada 31 Mac lalu.
“Sepertimana yang diumumkan, kerajaan juga sedang mengkaji pemanjangan elaun locum kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional di KKM selain Pegawai Perubatan.
“Di samping itu, KKM masih meneruskan pelantikan kontrak bagi tujuan latihan siswazah (housemanship) yang turut memberi implikasi kepada peningkatan kos emolumen KKM pada setiap tahun,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, KKM berharap langkah penambahbaikan ini terus menjadi pemangkin bagi meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Malaysia Madani.
Dr. Zaliha berkata, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan membantu KKM menangani isu pekerjaan tetap dalam kalangan pegawai perubatan lantikan kontrak.
Semalam, Anwar mengumumkan langkah untuk mewujudkan hampir 12,800 perjawatan tetap pegawai perubatan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun menjelang tahun 2025 melibatkan keseluruhan kos tambahan bagi urusan berkenaan adalah sekitar RM1.7 bilion. – UTUSAN