PETALING JAYA: Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang diperkenal bagi membantu rakyat mendapatkan barang mentah dengan harga lebih murah akan diadakan sebanyak 2000 kali di seluruh negara pada tahun ini.
Program itu akan dilakukan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), jabatan-jabatan kerajaan, kawasan perumahan B40 dan T20.
Empat keutamaan yang diambil kira oleh Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA) apabila menganjurkan program berkenaan adalah ketersediaan (availability), kebolehcapaian (accessibility), kemampuan membeli (affordability) dan keselamatan makanan (food safety) merupakan tunjang dalam perancangan Dasar Jaminan Makanan Negara (DJBL) pada masa ini.
Program terus dijangka mampu memberi nilai penjimatan kepada pengguna antara lima hingga 10 peratus atau lebih berbanding harga pasaran semasa.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, program berkenaan diharapkan dapat meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk segar pada harga berpatutan.
“Program itu juga bertujuan menyediakan akses pasaran tambahan bagi produk agromakanan buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ikan, produk makanan dan minuman termasuk bekalan ayam dan telur kepada pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Rashid berkata, program itu juga dilaksanakan untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui jualan terus kepada pengguna tanpa perantara pasaran.
“JTDL mengurangkan lapisan perantara pasaran dari sumber pengeluaran kepada pengguna tanpa melibatkan mana-mana pihak.
“FAMA akan menyediakan kemudahan seperti payung, meja dan pembersihan selepas jualan bagi memudahkan peniaga-peniaga yang berniaga di program ini,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menambah 1,000 lagi lokasi Program JTDL menjadikan sebanyak 2,000 lokasi pada tahun ini demi membantu pengguna mendapatkan harga barangan jauh lebih rendah dari pasaran.
Jualan menerusi inisiatif FAMA itu dijangka turut memberi manfaat kepada peniaga kerana barangan dijual dibawa terus daripada sumber bekalan.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. Marimuthu Nadason berkata, program JTDL sangat baik dan mampu membantu ramai pengguna serta peniaga.
“Program sebegini perlu diteruskan supaya rakyat dapat membeli barang dengan harga yang berpatutan dan bermutu tinggi.
“Inisiatif itu sedikit sebanyak dapat bantu mengawal harga barangan di pasaran,” katanya dihubungi hari ini.
Marimuthu berkata, kerajaan perlu mengawal harga untuk membantu peladang dan pengusaha tanaman supaya mereka dapat melakukan jualan terus kepada masyarakat.
“Jika program sebegini dapat dijalankan dalam jangka masa yang panjang, ia dapat membantu industri peruncitan, minuman dan makanan.
“Pihak kerajaan perlu menaikkan pengusaha ladang, penternak dan peniaga tempatan,” katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, program seperti JTDL dapat membantu peniaga dan pengguna serta pengusaha ladang dan penternak tempatan.
“Pihak kerajaan perlu memantau kenaikan dan penurunan harga supaya menguntungkan semua peniaga serta pengguna.
“Jika pihak berkenaan dapat berbincang mengenai masalah operasi dan masalah harga bersama peniaga dan pengguna, pihak kerajaan dapat bantu dua golongan ini pada masa akan datang,” katanya.
Jacob berkata, pihak kerajaan juga perlu memantau dan memberi laporan kepada pihak berkenaan agar tidak berlaku kebocoran dan ketidaktelusan dalam mengendalikan program ini,” katanya.
Dalam pada itu Abdul Rashid berkata, kedudukan pasar tani tidak akan berubah tempat apabila telah dibuka di satu satu kawasan manakala program lain seperti Jualan Khas Syawal dan Pusat Transformasi Luar Bandar dan Medan Niaga Satok akan berubah tempat.-utusan