PETALING JAYA: Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang 20 April ini bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa diumumkan pada malam berkenaan.
Jabatan Penerangan dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 29 lokasi diperkenan terlibat untuk melihat anak bulan bagi menetapkan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
“Antaranya Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu dan Tanjung Bidara di Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang dan Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati dan Kuala Selangor di Selangor serta beberapa lokasi lain di semua negeri,” katanya.
Katanya, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menjelaskan Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan, suasana kelam-kabut umat Islam melakukan persiapan Aidilfitri kerana anak bulan Syawal tiba-tiba kelihatan kemungkinan besar tidak terjadi pada kali ini.
Jabatan Mufti Selangor ada memberikan gambaran awal yang umat Islam di negara ini bakal berpuasa genap 30 hari hingga 21 April depan.
Ia susulan pengiraan data dari Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam yang mengunjurkan anak bulan gagal memenuhi imkanur rukyah atau kriteria penampakan kedudukannya. – UTUSAN