KUBANG PASU: Hampir dua juta kenderaan dijangka memasuki negeri-negeri utara tanah air sepanjang tempoh perayaan ini yang menyaksikan pertambahan antara 20 hingga 30 peratus berbanding hari-hari biasa.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di seluruh negeri walaupun di sebalik jumlah kenderaan yang tinggi itu.
Menurutnya, seramai 309 pegawai dan anggota polis ditugaskan di seluruh negeri ini bagi memantau pergerakan trafik dan melaksanakan tugas diperlukan di sepanjang tempoh itu.
“Mereka terdiri daripada 38 pegawai dan 182 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), serta 89 anggota dari lain-lain elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi semua daerah dalam kontinjen Kedah.
“Dalam usaha melakukan yang terbaik, kami telah menghadkan cuti mereka dengan masing-masing akan bercuti secara bergilir-gilir selepas raya. Selain itu kami turut mengenal pasti 13 ‘kawasan hitam’ (Blackspot) di Kedah yang akan diberikan lebih perhatian.
“Antara lokasi tersebut adalah Jalan Sungai Petani ke Baling, Jalan Gurun ke Kepala Batas, Jalan Kuala Ketil ke Bandar Baharu dan Jalan Alor Setar menuju ke Butterworth,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kuih raya sempena Aidilfitri kepada pegawai dan anggota di Markas Taktikal (Martak) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Tambah Wan Hassan, pihaknya akan turut membuat pemantauan melalui dron di lokasi-lokasi tertentu bagi memastikan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi.
“Perlu diingat, jalan raya di Kedah ini tidak hanya digunakan mereka yang beraya di Kedah saja malah turut dilalui kenderaan untuk ke negeri-negeri lain seperti Perlis dan Kelantan. Disebabkan itu, kami akan melaksanakan pemantauan sebaik mungkin.
“Dalam masa sama, kami turut menubuhkan pasukan ‘Cantas’ daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi melaksanakan rondaan lebih kerap bersama unit narkotik dan sebagainya. Elemen kawalan sempadan turut diperketat bagi mengelak pencerobohan anasir tidak baik di sepanjang musim perayaan ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, jumlah kesalahan melibatkan mercun di Kedah setakat ini hanyalah 15 kes dengan nilai rampasan kira-kira RM53,000.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dengan kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada permit atau lesen menjalankan perniagaan.
“Bagi keseluruhan Kedah, kami menerima 152 permohonan untuk mendapatkan lesen dan telah meluluskan 136 daripadanya. Pelbagai penilaian dibuat sebelum kelulusan diberi seperti aspek keselamatan simpanan dan rekod jenayah pemohon,” katanya. –UTUSAN