KUALA TERENGGANU: Seramai 17,000 ketua isi rumah (KIR) yang terlibat banjir di Terengganu mula menerima bantuan khas sebanyak RM1,000 yang mula diagihkan secara berperingkat sejak kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pada peringkat awal ini, bantuan tersebut hanya disalurkan kepada mangsa banjir yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja.
Bagaimanapun, menurutnya, baki mangsa banjir lain yang tidak berpindah di PPS pula akan menerima bantuan tersebut selepas ini.
“Untuk keluarga mangsa yang tidak berpindah ke PPS, namun rumah mereka turut dilanda banjir atau terkepung, tetap akan menerima bantuan yang sama selepas kerajaan negeri menerima bayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP).
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya minta maaf kepada semua mangsa yang terlibat atas kerumitan dan kesulitan yang tidak dijangka ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di sini, hari ini.
Dalam kejadian banjir pada akhir tahun lepas, lebih 41,000 mangsa terjejas telah dipindahkan di PPS di seluruh negeri ini.
Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan bantuan khas RM1,000 untuk semua KIR yang terlibat bagi meringankan beban kewangan mereka.
Bagaimanapun, bantuan itu yang sepatutnya diagihkan pada Februari terpaksa ditunda kepada Mac dan kemudiannya April kerana masalah tuntutan yang bertindih dalam kalangan mangsa.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata kelewatan bayaran itu berlaku kerana kerajaan negeri terpaksa menyemak senarai pemohon dengan terperinci bagi mengelak berlakunya pertindihan.
“Ada suami tuntut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain sedangkan isterinya pula membuat tuntutan di DUN lain,” ujarnya. – UTUSAN