15,000 peserta dijangka sertai Score Run 2023  - Utusan Malaysia

15,000 peserta dijangka sertai Score Run 2023 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 15,000 peserta dijangka menyertai larian Score Marathon 2023 yang diadakan pada 13 Ogos nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif, Score Sports Management Sdn. Bhd., Patricia Tan berkata, acara anjuran AIA Vitality yang kini memasuki edisi ke-10 itu diadakan bagi menggalakkan amalan hidup sihat.

Katanya, acara melibatkan 32 kategori itu yang akan diadakan di Dataran Putrajaya meliputi jarak  sejauh 42 kilometer (km); 21km; 10km dan 5 km.

“Setiap peserta berpeluang mencabar diri sendiri dan mencipta rekod peribadi baharu daripada acara ini.

“Acara ini akan memberi sesuatu yang bermakna kepada semua. Sama seperti tahun sebelumnya, peserta boleh memilih untuk menyertai sama ada kategori speed, cruise atau menyertai acara ini secara maya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Setiap penyertaan awal dikenakan yuran sebanyak RM55 untuk kategori 5km junior sehingga RM120 untuk kategori 42km.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Heng Zee Wang berkata, acara ini akan berkembang menjadi salah satu acara larian kegemaran ramai dan paling dinantikan di Malaysia pada masa depan.

“Score Marathon 2023 anjuran AIA Vitality bukan sahaja menyediakan platform bertaraf dunia untuk rakyat Malaysia berlari bersama.

“Malah yang lebih penting turut menunjukkan komitmen AIA memberi inspirasi dan menggalakkan mereka untuk kekal aktif secara fizikal, membuat pilihan gaya hidup yang lebih baik dan menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna,” jelasnya.

Hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan RM27,600 disediakan untuk setiap pemenang kategori daripada tempat pertama sehingga ketiga.

Pendaftaran untuk SCORE Marathon 2023 anjuran AIA Vitality akan ditutup pada 30 Jun 2023. 

Segala maklumat boleh dilayari di laman sesawang anjuranhttps://bit.ly/scoremarathon2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN