15,000 penduduk Kampung Melayu rai Aidilfitri 5 malam - Utusan Malaysia

15,000 penduduk Kampung Melayu rai Aidilfitri 5 malam

SALIM Abdul Rahman menyampaikan sumbangan duit raya kepada tetamu yang hadir pada majlis Havoc Raya yang diadakan selama lima malam berturut-turut di Kampung Melayu, Ayer Itam, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kemeriahan sambutan Aidilfitri menerusi majlis Havoc Raya yang berlangsung selama lima malam bermula 1 Syawal lalu berjaya mengumpulkan kira-kira 15,000 penduduk Kampung Melayu, Air Itam di sini.

Lebih menarik, pelbagai aktiviti antaranya pertandingan pakaian beragam, karaoke, cabutan bertuah dan dekorasi rumah raya turut dianjurkan sekali gus memeriahkan lagi program yang sudah berlangsung sejak 26 tahun lalu itu.

Penganjur majlis, Salim Abdul Rahman berkata, program berkenaan bukan sahaja mengeratkan silaturahim sesama penduduk, malah membentuk semangat muafakat antara kaum.

“Saya teruja dan gembira kerana berpeluang menganjurkan program sebegini kerana ia menjadi platform untuk menyatukan kita semua terutamanya anak-anak jati Kampung Melayu.

“Kehadiran penduduk kali ini juga di luar jangkaan dan lebih ramai berbanding sebelum ini biarpun pernah terhenti seketika ketika Covid-19 melanda dunia.

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur program ini berjalan lancar dan semua penduduk berpeluang meluangkan masa meraikan Aidilfitri bersama-sama kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan serta beberapa artis tempatan terkemuka antaranya Haqiem Rusli dan Zaki Yamani.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Nursyuhani Che Husain, 28, berkata, program tersebut dilihat menjadi platform paling sesuai dalam mengeratkan hubungan sesama penduduk setempat.

“Selalunya kami tidak berkesempatan untuk beramah mesra kerana kekangan masa dan rutin harian, maka majlis ini menjadi penyambung silaturahim sesama jiran dan penduduk.

“Diharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang kerana sudah menjadi ‘trademark’ penduduk Kampung Melayu yang meraikan Aidilfitri dengan meriah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya