BAGAN SERAI: Kira-kira 15 buah rumah di Bagan Serai dan Parit Buntar rosak dalam kejadian ribut petang semalam.
Antara kawasan terlibat di Parit Buntar ialah Kampung Kedai, Kampung Sungai Bakau, Parit Haji Nasir, Parit Mat Alam, Kampung Parit Tok Hin, Kampung Sungai Baru Tengah, Kampung Baru Pandak Puteh dan Kampung Parit Tok Kip.
Manakala di kawasan Bagan Serai pula melibatkan Kampung Parit Haji Napis, Kampung Parit Sulaiman, Kampung Parit Husin dan Kampung Parit Jawa.
Ribut menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin dan kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mangsa yang terlibat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali berkata, penduduk yang terlibat ribut disarankan untuk membuat laporan polis.
Katanya, pihaknya akan berusaha untuk membawa perkara itu kepada pihak yang berkenaan agar bantuan dapat diberikan kepada mangsa yang terlibat. – UTUSAN