SHAH ALAM: Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang, menerima sebanyak 141 kapal yang membawa 342,721 penumpang melalui kemudahan tersebut sepanjang tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dalam satu kenyataan berkata, beliau menyasarkan peningkatan daripada jumlah tersebut pada tahun ini sebagai usaha memperkukuh segmen pelancongan di Selangor.
“Tahun lalu sebanyak 141 kapal membawa sejumlah 342,721 penumpang berlayar ke terminal yang menjadi perhentian pelayaran pilihan Cruise Lines terkenal seperti Genting Dream Resorts World Cruises, Celebrity Cruises, Regal Cruises, Star Cruises dan Royal Caribbean International.
“Jadi kita yakin Selangor mampu meneruskan usaha menarik pelancong antarabangsa khususnya melalui terminal kapal persiaran berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terkini,” katanya.
Tambahnya, sebagai usaha memperkukuhkan segment tersebut, Tourism Selangor baru-baru ini menyertai Seatrade Cruise Global 2023 di Florida, Amerika Syarikat pada 27 hingga 30 Mac lalu bersama 500 pempamer lain.
“Dengan kerjasama antara Tourism Selangor dan Tourism Malaysia, terdapat lebih banyak siri promosi silang, FAM Trips, misi jualan dan kempen digital serta pengiklanan diadakan bersama negara mengambil bahagian,” ujarnya. – UTUSAN