PUTRAJAYA: Sebanyak 14 premis makanan di Bazar Ramadan diarah tutup oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tidak mematuhi peraturan dan keselamatan makanan.
KKM menerusi kenyataan hari ini berkata, penutupan premis itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 menerusi Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan membabitkan 640 lokaliti seluruh negara sejak 23 Mac hingga 16 April lalu.
“Operasi oleh Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh negara itu melibatkan pemeriksaan premis dan pensampelan makanan di 51,849 premis makanan.
“Ia dilaksanakan bagi memastikan makanan disediakan dan dijual selamat mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.
Selain itu, katanya, sebanyak 2,188 Notis dengan nilai kompaun RM197,600 dikeluarkan terhadap pemilik premis makanan mengikut Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 kerana tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan.
Menurutnya, dalam operasi sama, seramai 104,755 pengendali makanan diperiksa dengan pecahan 93 peratus (96,911 pengendali makanan) mempunyai suntikan anti-tifoid dan 84 peratus (87,832 pengendali makanan) menghadiri latihan pengendali makanan.
Dalam pada itu, katanya, KKM telah menerima sebanyak 17 aduan makanan di bazar Ramadan 2023 di seluruh negara setakat 18 April lalu di mana 15 aduan sudah selesai disiasat, manakala dua aduan masih dalam siasatan.
Bagi kejadian keracunan makanan di Bazar Ramadan pula, katanya, dua laporan diterima sehingga 13 April lalu masing-masing di Bazar Ramadan Asia City, Kota Kinabalu, Sabah dan Bazar Ramadan UiTM Segamat, Johor.
Katanya, kesemua kes telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan, manakala empat notis kompaun dikeluarkan kepada peniaga di Bazar UiTM Segamat kerana tidak mematuhi pakaian pengendali makanan.
“Tapak bazar Ramadan UiTM Segamat juga diarahkan ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.
Sementara itu, bersempena lebaran yang bakal tiba, KKM menasihati pengguna dan orang ramai untuk sentiasa peka dengan aspek keselamatan makanan khususnya dalam menyediakan juadah hari raya atau menganjurkan rumah terbuka.
“Sentiasa amalkan kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan dan selepas ke tandas.
“Sila ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan dan jadikan ianya amalan sebagai langkah menghindari keracunan makanan,” katanya. – UTUSAN