KUALA TERENGGANU: Seramai 14 penyokong Terengganu FC (TFC) dan Melaka FC dikompaun oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kerana merokok ketika menyaksikan perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, dekat sini, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, penyokong terlibat ditahan dalam Ops Gomo Asap Khas yang dijalankan di stadium tersebut.
Menurutnya, nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan dalam operasi itu adalah sebanyak RM2,500.
Katanya, operasi itu diadakan berikutan ramai penonton sebelum ini menyuarakan luahan kebimbangan mengenai kesihatan mereka terutama kanak-kanak, wanita dan warga emas disebabkan perbuatan segelintir individu merokok di dalam stadium tersebut.
“Oleh itu, operasi ini diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak lagi merokok di dalam stadium pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Seramai 58 anggota penguat kuasa kesihatan terlibat dalam operasi berkenaan.
Dr. Kasemani berkata, kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
“Orang ramai khususnya perokok perlu mengambil peluang kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini bagi memulakan azam untuk berhenti merokok,” ujarnya. – UTUSAN