KUCHING: Polis menahan tujuh lelaki tempatan dan enam (6) lelaki warga asing dalam serbuan pusat operasi judi dalam talian di kawasan perumahan Jalan Stampin, di sini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada Ahad (2 April).
“Kesemua pekerja yang ditahan di pusat berkenaan berumur dalam lingkungan 18 hingga 36 tahun dan dipercayai telah menjadi operator pengendalian perjudian dalam talian sejak tiga bulan yang lepas dengan bayaran gaji RM1,500 sebulan.
“Setiap operator juga akan dibayar (sejumlah) amaun sebagai bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket,” tambahnya.
Ujarnya lagi, permohonan reman dibuat di Mahkamah Kuching, hari ini.
Para pekerja berkenaan turut diupah mengendalikan operasi dan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai cara untuk mempromosikan perjudian dalam talian.
“Selain panggilan telefon, kesemua operator ini juga mempromosikan judi dalam talian menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti WhatsApp, Telegram, WeChat, Skype dan Facebook,” ujarnya.
Mohd Azman turut mendedahkan, berdasarkan semakan rekod dan transaksi, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM1,000 sehari dan boleh mencecah RM30,000 sebulan.
Polis kini sedang mengesan pemilik sebenar kediaman tersebut.
Pelbagai peralatan turut dirampas termasuk, sembilan unit monitor komputer, sembilan unit pemprosesan komputer, 26 telefon bimbit, ‘router’, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan perjudian.
Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbukja 1953 yang membawa hukuman RM5,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun dan selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda RM5,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.- utusan