PETALING JAYA: Seramai 112,635 peneroka Felda mohon supaya kerajaan memberikan bantuan sagu hati menjelang Aidilfitri susulan bebanan kos sara hidup yang kian meningkat.
Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata pemberian wang sagu hati merupakan amalan kerajaan setiap tahun.
“Sempena Ramadan, jasa dan pengorbanan kakitangan Felda sentiasa diingati. Kain pelikat dan batik yang diberi, nilainya tak seberapa tetapi merupakan bentuk penghargaan buat jasa dan dedikasi mereka pada masyarakat.
“Saya mengambil kesempatan setiap kali bulan ramadhan, merayu agar duit raya atau saguhati buat 112,635 peneroka Felda dapat diberikan. Ini amalan setiap tahun sejak sekian lama.
“Jumlahnya, terpulang kepada budi bicara perdana menteri dan kerajaan tetapi ia amat diperlukan tatkala peneroka berdepan isu kos sara hidup yang amat membebankan,” katanya dalam majlis menyampaikan sumbangan Ramadan.
Mazlan menyumbangkan kain pelikat dan batik kepada 15 orang kakitangan Felda dan Felda Plantation Management (FPM) Felda Bukit Ramun.
Majlis itu turut dihadiri Pengurus Felda Bukit Ramun, Sahrol Farizal Mohd Noor dan Pengurus FPM Bukit Ramun, Saiful Hanizam Esa.
Bantuan hari raya Aidilfitri kepada peneroka Felda dihentikan pada tahun 2019 namun kemudian disambung semula pada tahun 2020.
Bagaimanapun, berdasarkan rekod, kali terakhir peneroka Felda mendapat bantuan itu adalah pada 2020 dan ia tidak lagi diteruskan pada tahun 2021 dan 2022.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menyatakan pendirian peneroka Felda wajar menikmati semula insentif atau duit raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau yang berucap dalam Majlis Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama di Felda Mayam meminta pengurusan Felda melihat balik insentif ini yang dapat membantu menggembirakan dan meringankan beban warga peneroka.- utusan