PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi bakal mengenal pasti 10 buah syarikat ternama untuk membentuk satu akademi khas dengan silibus mengikut keperluan pasaran sebenar.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ia antara hasil yang diputuskan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) setelah perbincangan rapi dengan pemain industri.
“Ia akan dibentuk pada akhir Jun depan dan setelah tiga bulan, kerajaan berhasrat mahu negara melahirkan 100,000 pekerja berkemahiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Platform Pemudah yang disertai Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Datuk Abd. Latif Abu Seman.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, selama ini pihak kerajaan hanya membina institusi latihan kemahiran dan mengambil pelajar tanpa diambil kira silibus memenuhi kehendak pasaran.
Situasi itu ujarnya mengakibatkan ada kalangan lepasan terbabit yang tidak mendapat pekerjaan setimpal dengan apa dipelajari dan menerima upah tidak sepadan ilmu mereka.
Justeru, setelah dilakukan kajian terperinci awal tahun ini, kementerian itu berpendapat sudah tiba masa pihak industri terlibat memberikan input mengikut keperluan sepatutnya.
Ini termasuk pemain industri akan bekerjasama menyediakan sukatan latihan dikehendaki dengan pasaran terkini dan sekali gus, lepasan akademi itu boleh terus diambil bekerja.
Pada masa sama, untuk menarik penyertaan lebih ramai syarikat multinasional terlibat, pihak kerajaan jelas Rafizi, akan menawarkan pelbagai insentif bagi membolehkan ramai belia termasuk lepasan sekolah menengah dari luar bandar dapat mengikuti latihan akademi antara 18 hingga 24 bulan.
Sementara itu, mesyuarat kali kedua Pemudah untuk tahun ini turut memutuskan rangka kerja proses pemendekan permohonan visa bagi ekspatriat dan pekerja warga asing dari 90 hari ke lima hari.
“Untuk pekerja baharu pula, tempoh itu mungkin tetap lama kerana ada banyak agensi terlibat dan pelbagai saringan ketat tetapi kita berharap ia boleh dipercepatkan,” katanya. – UTUSAN