10 peratus keluasan tanah diperuntuk pengeluaran sumber makanan negara

10 peratus keluasan tanah diperuntuk pengeluaran sumber makanan negara

ANWAR Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat MPFN Ke-41 di Putrajaya. - GAMBAR IHSAN KPKT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membuat ketetapan keperluan peruntukan 10 peratus keluasan tanah Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk tanah sumber makanan negara.

Perkara itu dicadangkan menerusi Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-41 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri di semenanjung serta menteri-menteri Persekutuan berkaitan.

Dalam kenyataan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, peruntukan keluasan tanah ini meliputi kawasan jelapang padi dan luar jelapang, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tanaman dan TKPM Penternakan dan Zon Industri Akuakultur untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) pengeluaran agromakanan.

Katanya, ini termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap import sumber makanan ke arah keterjaminan berterusan sumber makanan negara.

“Dari segi ranking negara dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada di tangga ke-41 daripada 113 buah negara, iaitu yang kedua dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura (kedudukan ke-28).

“Mesyuarat bersetuju agar pengiraan 10 peratus ini turut mengambil kira sumbangan keluasan daripada Negeri Sabah dan Sarawak.

“Mesyuarat juga menyarankan supaya fokus diberikan kepada peningkatan produktiviti agromakanan berbanding peningkatan keluasan kawasan pertanian, terutama bagi negeri-negeri yang mempunyai kawasan pertanian yang luas,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, mesyuarat itu turut menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan sebagai satu langkah memudah cara urus niaga untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara berdaya saing di peringkat global.

Katanya, kementerian itu khususnya melalui PLANMalaysia perlu menjadi penyelaras atau penasihat dalam memudah cara urusan permohonan cadangan pembangunan oleh pihak pelabur khususnya luar negara.

“Ini bagi memastikan proses kebenaran merancang, pelan bangunan, pelan kejuruteraan dan sebagainya dapat dipercepatkan,” katanya.

Mesyuarat itu juga turut bersetuju dengan cadangan Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah yang disediakan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Pengairan dan Saliran.

Kata KPKT, PISMA ini dilihat sebagai salah satu solusi dalam menangani isu banjir kilat di negara ini.

Untuk itu, KPKT akan mengeluarkan arahan pemakaian PISMA di dalam proses pembangunan tanah terutama dalam proses kelulusan kebenaran merancang dan di peringkat kajian semula rancangan tempatan.

“Cadangan Memperkukuh Industri Penternakan Ayam turut dipersetujui melalui penerimapakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam yang disediakan KPKT melalui PLANMalaysia.

“Cadangan pengukuhan ini juga melibatkan pelaksanaan Pekeliling JKPTG Bil. 1/2003 untuk memudah cara proses pembangunan ladang penternakan ayam dari aspek urusan tanah di mana pihak berkuasa negeri (PBN) disyor untuk menyediakan panduan khas pelaksanaan Pekeliling berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, Prosedur OSC 3.0 Plus juga ditambah baik dengan meminimumkan hanya lima agensi wajib dirujuk untuk mendapatkan kelulusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya