SHAH ALAM: Setiap negara dikatakan mempunyai matla’ rukyah berbeza dalam penentuan tarikh jatuh 1 Syawal dan Malaysia tidak bergantung kepada kenampakan atau data-data kedudukan anak bulan di negara lain.
Ini kerana negara ini mempunyai 29 lokasi cerapan dalam menentukan tarikh perubahan Ramadan ke Syawal yang menjadi salah satu daripada dua kaedah selain kiraan bilangan hari dalam kalendar Islam 29 atau 30 hari dalam sebulan.
Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, meskipun cerapan dibuat di kesemua 29 lokasi namun hitungan ahli-ahli falak tidak bersifat muktamad dan keputusan tersebut ditentukan oleh Majlis Raja-Raja sebelum pengumumannya dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan.
“Islam menetapkan kaedah yang jelas dalam penentuan awal Ramadan dan awal Syawal. Kaedah utama yang dianjurkan sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. adalah berdasarkan rukyah hilal atau melihat anak bulan.
“Malaysia mengamalkan penggunaan kriteria Imkanurrukyah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah sejak tahun 1992. Kriteria ini ditambahbaik bermula bulan Muharam 1443H setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau menasihatkan umat Islam untuk kekal bertenang dan menunggu pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadhan 1444H iaitu pada 20 April ini.
Semalam Utusan Malaysia memetik laporan akhbar antarabangsa berkenaan pengumuman Pusat Astronomi Antarbangsa yang memaklumkan negara-negara Islam dijangka melihat hilal Syawal atau anak bulan pada Khamis, 20 April sekaligus menandakan tarikh tersebut sebagai hari terakhir berpuasa.
Bagaimanapun, agensi itu menyifatkan tidak mungkin melihat anak bulan dengan mata kasar atau teleskop dari semua bahagian Asia dan Australia, namun kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan Syawal pada hari berikutnya yang akan menjadikan hari Jumaat, 21 April adalah hari pertama Aidilfitri.
Dalam pada itu, Anhar menambah, anak bulan dianggap kelihatan apabila memenuhi syarat iaitu ketika matahari terbenam, tinggi tidak kurang tiga darjah dan elongasi matahari-bulan tidak kurang 6.4 darjah.
“Imkanurrukyah sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS).
“Menurut kriteria ini, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan pada tanggal 29 haribulan hijriah maka keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baharu. Namun, jika tidak kelihatan maka keesokannya disempurnakan menjadi 30 haribulan,” jelasnya.
Katanya lagi, kriteria tersebut dibangunkan berdasarkan pemerhatian yang berterusan terhadap data-data dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia yang menjadi kaedah alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk satu takwim hijriah sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan syarak. – UTUSAN