ALOR SETAR: Zakat fitrah Kedah ditetapkan pada empat kadar tahun ini berbanding tiga pada tahun lalu berdasarkan kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam negeri ini.
Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Norizan Khazali berkata, pihaknya melalui perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menetapkan zakat fitrah itu pada kadar RM6.50; RM7; RM14; dan RM21.
Katanya, penetapan harga zakat fitrah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan pada kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram (kg).
“Penentuan kadar zakat fitrah ini dibuat berdasarkan pelbagai jenis tanaman padi di Kedah serta bentuk geografi, ada daerah yang usahakan tanaman padi setahun sekali dan dua kali setahun, beras di Sik contohnya berbeza dengan beras di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Kadar baharu adalah RM6.50 untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super spesial tempatan (10 peratus hancur) dan setaraf dengannya. Kadar RM7 pula bagi beras jenis sama yang lima peratus hancur,” katanya selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Jom Sedekah Food LZNK di Menara Zakat, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kadar RM14 ditetapkan untuk mereka yang menjadikan makanan harian beras daripada jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.
“Kadar terakhir iaitu RM21 untuk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis basmathi, beras jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” jelasnya.
Tambah Norizan, LZNK juga mensasarkan kutipan zakat fitrah kira-kira RM12.4 juta berbanding RM11.8 juta tahun lepas dan bagi tujuan memudahkan orang ramai sebanyak 27 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah disediakan. –UTUSAN