KANGAR: Institusi penyelidikan perlu memainkan penting dalam melaksanakan kajian yang komprehensif berkaitan dengan isu kepimpinan wanita.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah, ia seperti faktor–faktor yang mempengaruhi keberkesanan kepimpinan dalam kalangan wanita.
Titah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pula sentiasa komited menyokong usaha-usaha bagi memperkasa golongan wanita memperkukuh jati diri seterusnya menjadi pemimpin yang berwibawa.
“Dalam memimpin sesebuah institusi, golongan wanita semestinya berdepan dengan pelbagai cabaran. Seseorang pemimpin perlu mempunyai kompetensi lain yang menggambarkan kewibawaan sebagai seorang pemimpin.
“Kajian oleh Harvard Business Review pada penghujung 2020 mendapati bahawa pemimpin wanita lebih kompeten berbanding lelaki dalam krisis Covid-19.
“Ini menunjukkan pemimpin wanita mampu memimpin sesebuah kumpulan, organisasi, institusi, malah negara dengan baik,” titah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen selaku Pengerusi YTF ketika berkenan merasmikan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah 2023 – ’Women In Search of Excellence’ di sini, semalam.
Webinar YTF yang merupakan ke-19 pada kali ini dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Institut Kajian Dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) dengan kerjasama Institut Pengajian Sains Sosial (IPSSS) Universiti Putra Malaysia (UPM).
Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan titah perasmian webinar itu dan disusli dengan ucap tama oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan ucapan Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.
Pada kesempatan yang sama, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen turut mengambil kesempatan menyampaikan sekalung penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang telah mengucapkan selamat dan mendoakan kepada baginda sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan pada 28 Mac 2023.-UTUSAN