Yasin gagal kali kedua kaji pertuduhan kes dadah - Utusan Malaysia

Yasin gagal kali kedua kaji pertuduhan kes dadah

YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman gagal kali kedua dalam permohonan representasi untuk mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah yang dihadapi di Mahkamah Majistret di sini.

Perkara itu ditentukan berikutan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, untuk mengkaji ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin memberitahu wakil media, ekoran permohonan itu ditolak pihak pembelaan telah memfailkan representasi ketiga, minggu lalu.

“Representasi kedua ditolak, kes akan dipanggil semula pada 15 dan 16 Mac ini. Justeru pihak kami memohon penangguhan supaya pihak pendakwaan mempunyai cukup masa untuk meneliti representasi ketiga,” kata peguam tersebut.

Menurut Ariff Azami, pada masa sama prosiding perbicaraan yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini hingga Jumaat telah dilapangkan.

Sebelum ini, tarikh-tarikh perbicaraan dijadual selama 15 hari bermula Mac iaitu pada 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac.

Dijangka 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nik Nasimah Nik Mohammad.

Terdahulu dalam representasi tersebut, pihak pembelaan memaklumkan ia antaranya melibatkan dokumen-dokumen perubatan yang agak komprehensif bagi menyokong permohonan agar pertuduhan terhadapnya dikaji.

Representasi setebal 47 muka surat itu turut mengandungi rawatan yang diperlukannya, alasan kemanusiaan, rayuan melibatkan keluarga dan keadaan terkini Yasin.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya