Yakin capai persetujuan kurang kos pekerja asing Indonesia - Utusan Malaysia

Yakin capai persetujuan kurang kos pekerja asing Indonesia

V. SIVAKUMAR ketika majlis pengumuman mengenai penganjuran National Human Capital Conference and Exhibition (NHCCE) 2023 - Wilayah Utara, di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) yakin satu persetujuan dapat dicapai bersama kerajaan Indonesia bulan ini berkaitan pengurangan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI).

Menterinya, V. Sivakumar berkata, selepas beberapa rundingan dijalankan di Indonesia sebelum ini, satu lagi rundingan akan berlangsung antara pihaknya bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Dr. Ida Fauziyah di Malaysia berkaitan isu sama pertengahan bulan ini.

”Untuk pengambilan PDI Indonesia pada ketika ini kosnya boleh dikatakan agak tinggi iaitu sekitar RM15,000.

“Kita yakin satu persetujuan antara Malaysia dan Indonesia dapat dicapai selepas pertemuan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia diadakan pada pertengahan Mac ini, namun saya tidak boleh membuat kesimpulan awal mengenainya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini, hari ini.

Terdahulu, Sivakumar mengumumkan mengenai penganjuran National Human Capital Conference and Exhibition (NHCCE) 2023 – Wilayah Utara yang akan berlangsung pada 31 Mei dan 1 Jun depan di Pusat Konvensyen Setia Spice.

Setakat 22 Januari lalu, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.

Daripada jumlah itu, 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah asing (PRA) dan warga Indonesia mewakili jumlah terbesar dalam sektor domestik di Malaysia.

Menurut Sivakumar, sebahagian besar kos yang terlibat bagi urusan pengambilan PDI disebabkan oleh kos dari negara sumber (Indonesia).

“Di sana ada ‘multi level recruitment’, sebagai contoh seorang pekerja domestik dari kawasan pedalaman dibawa keluar oleh agensi A, kemudian dibawa pula oleh agensi B dan agensi C sebelum dia sampai ke negara kita.

”Perkara sebegini yang menyebabkan kos menjadi tinggi, jadi kita kena mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan kos ini kerana ia adalah satu masalah besar,” katanya.

Tambah beliau, selain Indonesia, pihaknya juga sedang mencari jalan penyelesaian dengan negara sumber lain bagi memastikan pekerja domestik yang dibawa masuk ke negara ini tidak perlu membayar kos yang tinggi.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, pihaknya amat mengalu-alukan para majikan membayar gaji terutama kepada lepasan siswazah pada kadar melebihi gaji minimum yang ditetapkan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya