PUTRAJAYA: Buat julung kalinya, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dilantik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyantuni 364 pelajar asnaf di seluruh negara.
Kerjasama tersebut disumbangkan hasil daripada kutipan zakat pendapatan lebih 4,000 kakitangan beragama Islam dan dilaksanakan menerusi Persatuan Kebajikan Islam LHDN (Perkis) untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Zamri Zainal Abidin berkata, pemberian ini adalah amat tepat kerana sekarang baru bermula sesi persekolahan penggal pertama dan Yadim berharap ia dapat selesai diagihkan sebelum Aidilfitri.
Terdahulu beliau hadir menerima cek cura bernilai RM54,500 yang diserahkan sendiri Yang Dipertua Perkis, Mohd. Husni Mohd. Noor di sini hari ini.
Pada majlis itu, Zamri juga menyampaikan barangan keperluan sekolah kepada enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, Selangor yang dipilih hasil permohonan pihak sekolah sendiri dan berdasarkan maklumat rekod butiran keluarga mereka.
Sementara itu, Mohd. Husni ketika ditemui pemberita berkata, program CSR berkenaan dilakukan menerusi pemulangan semula dana wakalah Pusat Pungutan Zakat (PPZ), malah ia dikumpul daripada zakat pendapatan tahunan kakitangan LHDN kepada pihak PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Kali ini merupakan tahun ketiga aktiviti CSR tersebut dilaksanakan dengan diselaraskan oleh Sinergi Ilmu Resources yang berpengalaman luas dalam pelbagai program kebajikan.
“Ini antara cara bakti LHDN untuk menyantuni golongan rentan di seluruh negara dan kami berharap acara sebegini dapat diteruskan lebih banyak lagi pada masa depan,” katanya. – UTUSAN