Warisan tidak lumpuh – Mohd. Azis - Utusan Malaysia

Warisan tidak lumpuh – Mohd. Azis

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kedudukan Parti Warisan (Warisan) di Sabah masih kukuh biarpun segelintir Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) melompat menyertai parti lain.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Warisan tidak lumpuh ke­rana sokongan rakyat terhadap parti itu masih kuat.

“Jika kita lihat jumlah undian pada PRU15, daripada 1.06 juta rakyat Sabah, Warisan memperoleh 24.3 peratus undian iaitu peratusan tertinggi berbanding parti-parti lain.

“Biarpun jumlah kerusi Parlimen yang dikuasai Warisan merosot tapi, jumlah undian yang diperoleh Warisan berada jauh di hadapan mengatasi parti-parti lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, ketika ditubuhkan pada 2016, Warisan hanya bermula dengan dua ahli Parlimen dan tiga ADUN tetapi kini mempunyai 15 ADUN dan tiga ahli Parlimen.

Pada PRU15, peratusan undian yang diterima UMNO adalah 17.3 peratus dan diikuti PKR 10.9 peratus, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)/Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula memperoleh 8.8 peratus.

Jelasnya, berdasarkan fakta itu, cukup jelas soko­ngan rak­yat terhadap Warisan masih lagi tinggi dan kepimpinan parti akan meneruskan perjuangan untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan hari ini.

Menurutnya, ADUN yang mengkhianati kepercayaan pe­n­gundi pasti akan dihukum pada pilihan raya akan datang.

“Lihat apa terjadi kepada pengkhianat Langkah Sheraton. Hampir semua tewas malah ada yang hilang wang pertaruhan,” katanya.

Menurut beliau, parti itu akan kekal dengan prinsip untuk memberi pilihan terbaik kepada rakyat Sabah dan Wa­risan tidak akan mengubah hala tuju hanya kerana ada wakil rakyat memilih meng­khianati perjuangan parti.

“Alasan melompat demi rak­yat adalah satu alasan basi dan retorik yang digunakan untuk menghalalkan lompatan mereka. Jadi, biar masa menentukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya