TASEK GELUGOR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang menyerahkan Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah kepada waris mangsa lemas di Pusat Rekreasi Air Terjun Sungai Sedim, di sini Ahad lalu.
Bayaran itu diserahkan Pengarah Perkeso negeri, Mustafa Draman kepada bapa mangsa, Yusof Mat, 67, di kediamannya di Kampung Permatang Berangan, di sini hari ini.
Ahad lalu, Mohamad Syafiq dan adiknya, Mohamad Syazwan, 25, ditemukan lemas kira-kira pukul 3.20 petang ketika berkunjung ke kawasan air terjun terbabit bersama tiga rakan lain.
Yusof ketika ditemui pemberita berkata, kedua-dua anaknya itu sangat akrab sejak kecil lagi dan berkongsi hobi menggemari aktiviti lasak.
“Pada hari kejadian kira-kira pukul 8 pagi, saya ada berpesan kepada mereka supaya berhati-hati ketika di tempat orang selepas memaklumkan mahu ke Sedim bersama rakan-rakan.
“Tiada sebarang perubahan ditunjukkan kerana saya tahu mereka sudah biasa ke sana, malah kedua-duanya juga mahir berenang.
“Mereka anak yang baik, berpewatakan kelakar dan tidak pernah lupa menghulurkan belanja setiap bulan, saya reda dengan takdir Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, Mustafa berkata, Allahyarham Mohamad Syafiq yang bekerja sebagai pekerja am di Bukit Mertajam adalah pencarum Perkeso sekali gus melayakkan Yusof menerima pencen penakat bulanan sebanyak RM331.20 selain Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000.
“Pencen yang diterima dapat membantu waris meneruskan kelangsungan hidup.
“Walaupun jumlahnya tidak besar, sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan bulanan,” katanya. – UTUSAN