Warga Rohingya bekerja secara haram sementara tunggu kad UNHCR - Utusan Malaysia

Warga Rohingya bekerja secara haram sementara tunggu kad UNHCR

SIDANG DUN Perlis. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Proses penghantaran pulang rakyat Rohingya ke negara asal atau penempatan negara ketiga yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) adalah amat rendah dan perlahan sehingga menyebabkan kebanjiran masyarakat berkenaan di negara ini.

Selain itu, tempoh masa yang lama untuk menunggu bagi mendapatkan kad UNHCR menyebabkan masyarakat Rohingya mengambil langkah untuk bekerja secara haram bagi meraih pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, kebanyakan masyarakat Rohingya yang masuk ke negara ini adalah secara tidak sah dan bertujuan bagi mendapatkan kad UNHCR berkenaan.

“Berikutan itu, Jabatan Imigresen Malaysia Perlis sentiasa mengadakan dan mempertingkatkan jumlah operasi penguatkuasaan bagi mengekang kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk masyarakat Rohingya di negeri ini.

“Operasi yang dijalankan oleh Imigresen juga tidak tertakluk kepada rondaan dan pengawasan di pintu-pintu sempadan sahaja namun merangkumi pemeriksaan di kawasan-kawasan perkilangan, kawasan pembinaan, kawasan perumahan, kawasan tumpuan orang awam dan lain-lain,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Muhammad Azmir berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dikemukakan oleh Wan Zikri Afthar Ishak (PN-Tambun Tulang) berhubung langkah diambil kerajaan negeri bagi menangani masalah kebanjiran masyarakat Rohingya di Perlis.

Dalam pada itu, Muhammad Azmir berkata, Jabatan Imigresen Malaysia Perlis juga menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dalam menangani masalah PATI di negeri ini.

“Jabatan Imigresen negeri juga menjalankan pelbagai jenis operasi dalam usaha membanteras PATI antaranya ialah Ops Sayang, Ops Sapu, Ops Mahir dan lain-lain.

“Selain itu, Ops Bersepadu iaitu operasi yang dijalankan bersama-sama agensi lain contohnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain turut dijalankan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya