Warga emas didakwa halang penjawat awam dalam operasi tangkap anjing liar - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa halang penjawat awam dalam operasi tangkap anjing liar

PATRICK Khoo Kian Wui hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan menghalang penjawat awam bertugas. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam ketika operasi penangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), minggu lalu.

Patrick Khoo Kian Wui, 69, yang bekerja sendiri didakwa dengan sengaja menghalang anggota MBPJ, Azizul Azzim Norehan daripada menjalankan tugas di sebuah rumah di Taman Kanagapuram, di sini, pada 9 malam, 22 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya tinggal kira-kira 4 kilometer (km) dari kompleks mahkamah selain telah menghadirkan diri secara sukarela di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sepanjang siasatan dijalankan.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa membenarkan Khoo diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Jumaat lalu, media melaporkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular memaparkan insiden pergelutan antara anggota MBPJ dengan seorang lelaki semasa operasi menangkap anjing liar.

Lelaki itu dikatakan cuba melindungi kumpulan anjing liar itu dengan memasukkan haiwan itu ke dalam premisnya, menyebabkan pasukan penangkap anjing cuba menghalang tindakannya sebelum berlaku pergelutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya