GEORGE TOWN: Beberapa keping gambar dan video dipercayai feri baharu Pulau Pinang yang tular di media sosial sejak semalam menimbulkan rasa teruja dalam kalangan rakyat negeri ini serta pengguna media sosial.
Feri tersebut yang diberi nama Teluk Bahang dipercayai untuk kegunaan pejalan kaki dan penunggang motosikal serta basikal.
Difahamkan, video dan gambar yang tular itu diambil di limbungan kapal di Haiphong, Vietnam dan feri-feri berkenaan didakwa akan tiba di Pulau Pinang, Julai ini.
Sementara itu, jurucakap Penang Port Sdn. Bhd. meminta semua pihak bersabar terlebih dahulu kerana matlamat utama pada masa ini adalah untuk menyiapkan pembinaan feri-feri berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai video serta gambar-gambar feri berkenaan.
”Saya tidak boleh ulas lanjut, nanti tunggu pengumuman mengenainya,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, SPPP mengumumkan komponen-komponen feri serta bentuk feri Pulau Pinang yang baharu telah mula kelihatan yang mana kemajuan pembinaannya adalah 40 peratus siap dan dijadualkan siap sepenuhnya Jun ini.
Bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang digantikan dengan penggunaan feri bot laju bagi membawa penumpang pejalan kaki manakala bagi pengguna motosikal dan basikal pula digantikan dengan feri roro.
Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 128 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar bermula pada 1894. – UTUSAN