UUM rangkul empat Anugerah Tokoh Siswa 2022 - Utusan Malaysia

UUM rangkul empat Anugerah Tokoh Siswa 2022

AHMAD Martadha Mohamed bersama pemenang ATS 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Utara Malaysia (UUM) buat julung kalinya mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya membolot empat anugerah pada majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2022 yang berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), semalam.

Empat anugerah tersebut ialah Anugerah Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar, Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman, Anugerah Majlis Perwakilan Pelajar Terbaik dan Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi.

Anugerah Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar dimenangi Muhammad Azri Mizra; Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman (Muhammad Saniy Samsudin); Anugerah Majlis Perwakilan Pelajar Terbaik (MPP UUM) dan Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi oleh Kelab Tarian Bidasari UUM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ketika dihubungi berkata, beliau gembira dengan pencapaian pelajar UUM dalam aspek kepimpinan dan pembangunan sahsiah sehingga berjaya diiktiraf dalam ATS 2022 ini.

MOHAMMAD Yusof Apdal ketika menyerahkan Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman kepada Muhammad Saniy Samsudin.

Menurutnya, kejayaan pelajar UUM mencatat nama dalam ATS dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain bahawa Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) berada di landasan yang baik untuk melahirkan mahasiswa holistik.

“Saya amat berbangga dan gembira dengan pencapaian pelajar kita kerana saya melihat di situ (ATS) wujud persaingan yang sengit. Pelajar dari universiti lain juga tidak kurang hebatnya. Namun pencapaian ini bukti kualiti kepimpinan pelajar kita sememangnya sangat baik.

“Dalam usaha melahirkan mahasiswa yang holistik, JHEP akan terus melakukan perancangan yang lebih strategik dan komprehensif bagi memastikan momentum kecemerlangan pelajar dapat dikekalkan serta ditingkatkan lagi.

“Pihak universiti khususnya JHEP memang telah menyusun perancangan yang lebih rapi dan strategik untuk merancang aktiviti-aktiviti pelajar dengan lebih objektif agar kejayaan yang kita kecapi ini dapat dikekalkan. Ini berdasarkan kepada pemerhatian saya sendiri setelah melihat saingan daripada calon (pelajar) universiti lain yang cukup baik,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Azri berkata, beliau sangat berbangga dengan kejayaan MPP UUM yang turut diumumkan sebagai MPP terbaik di Majlis ATS 2022 itu.

Kata pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) itu, dia bersyukur atas rezeki kemenangan bagi kategori Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar dan juga MPP UUM bagi kategori Majlis Perwakilan Pelajar Terbaik.

Tambahnya, kedua-dua pencapaian itu membuktikan MPP UUM berjaya mengekalkan dominasi atas kemenangan bagi dua kategori ini selama dua tahun berturut-turut.

Kejayaan Muhammad Azri adalah hasil komitmen yang ditunjukkan dalam memimpin serta mengurus pelbagai program MPP UUM melibatkan aktiviti dalam dan luar negara.

MUHAMMAD Azri Mirza menerima Anugerah Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar daripada Mohammad Yusof Apdal.

“Beberapa program berimpak tinggi MPP yang dilaksanakan membolehkan saya memenangi ATS pada tahun ini iaitu ASEAN Leadership Dialogue dan juga Inter INASIS E-Sports League. Walaupun sibuk, saya masih dapat mengekalkan keputusan akademik dengan keputusan PNGK 3.83,” jelasnya.

Muhammad Saniy pula menganggap kejayaan julung kali untuk kategori Kepimpinan Kolej Kediaman itu adalah satu pengiktirafan peribadi selain kejayaan untuk UUM terutama pengurusan tertinggi universiti, Pengetua Inasis MAS dan TNB, Prof. Madya Dr. Rohani Abdullah, Majlis Pengetua dan Majlis Presiden JKPS.

Pemilihan pelajar Sarjana Muda Kewangan itu adalah hasil yang telah ditunjukkan menerusi pencapaian terbaik dan ciri-ciri kepemimpinan berwibawa dalam pengurusan organisasi kolej kediaman.

Majlis ATS 2022 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di mana dalam ucapannya berkata, anugerah berkenaan adalah platform terbaik untuk memberi galakan kepada mahasiswa cemerlang dalam kepimpinan.

Menurutnya, ATS mula diperkenalkan sejak 2013 bagi memberi pengiktirafan kepada peranan individu dan badan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

ATS tahun kelapan ini merupakan anugerah berprestij bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian mahasiswa sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Sebanyak 20 buah anugerah telah dipertandingkan merangkumi kategori kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan kebudayaan termasuk anugerah utama iaitu Anugerah Menteri Pendidikan Tinggi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya