KUALA SELANGOR: Pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don dilantik sebagai Ikon Mahabbah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) pada tahun ini bertujuan memperluaskan lagi jenama yayasan itu kepada masyarakat.
Menurut Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, YIDE mahu rakyat mengenali lebih dekat dan mengetahui fungsi kebajikan yang dilaksanakan.
“Selain itu, Ustaz Don akan membantu YIDE mendapatkan kutipan sumbangan orang awam atau syarikat korporat melalui program yang dijalankan.
“Kami akan menjelajah ke daerah lain di Selangor bagi menyampaikan tazkirah khas Ramadan terutama berkaitan infaq kepada anak yatim,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan YIDE di Masjid Kampung Sungai Terap, Tanjong Karang di sini, hari ini.
Dalam program tersebut, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan RM129,600 kepada 864 anak yatim di daerah ini bagi membantu meringankan beban terutama persiapan Aidilfitri bulan depan.
Baginda turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pelantikan Ikon Mahabbah antara Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd. Razali Abdullah dan Ustaz Don.
Sementara itu, Don Daniyal memaklumkan, pelantikan berkenaan dianggap amanah dan tanggungjawab besar perlu dipikulnya sebaik mungkin.
“Misi utama saya mahu mendidik masyarakat supaya terus membantu lebih ramai anak yatim terutama di negeri ini. Salah satu kaedah yang betul untuk memberi maklumat lebih tepat kepada orang ramai adalah menerusi bacaan khutbah,” katanya. – UTUSAN