Ustaz Azhar keluar dari hospital, dinasihatkan berehat sementara - Utusan Malaysia

Ustaz Azhar keluar dari hospital, dinasihatkan berehat sementara

USTAZ AZHAR IDRUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Selasa lalu telah dibenarkan pulang ke rumah setelah kesihatannya beransur pulih pada pukul 1 tengah hari semalam.

Perkara tersebut dimaklumkan isterinya, Rogayah Sulong melalui laman sosial Facebook miliknya.

“Alhamdulillah ustaz dah discharge (keluar dari wad). Terima kasih kepada pihak hospital HSNZ di atas layanan yang baik (sepanjang ustaz menerima rawatan).

“Terima kasih juga kepada semua kru Ustaz (Azhar) dan kepada semua yang mendoakan. Semoga Ustaz sembuh seperti sediakala agar dapat meneruskan dakwah seperti biasa,” tulisnya dalam status yang dimuat naik malam tadi.

Pendakwah terkenal itu dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu selepas dipercayai mengalami masalah kesihatan membabitan paru-paru dan jantung.

Sebelum itu, satu kuliah agama yang dijadualkan diadakan di sebuah masjid Kampung Bukit Tadok, Kuala Telemong, turut ditangguh kepada satu tarikh lain disebabkan oleh masalah kesihatan yang dihadapi pendakwah itu.

Sebelum ini beberapa foto pertemuan dan lawatan pendakwah terkenal, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu’ Al-Banjari dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Ustaz Azhar turut tular di media sosial dan dibanjiri doa peminat yang mendoakan kesembuhannya segera.

Sementara itu, salah satu sumber yang rapat dengan pendakwah itu berkata, penceramah terkenal tersebut dinasihatkan agar berehat untuk sementara waktu sebelum meneruskan aktiviti ceramah dan kuliah seperti biasa.

“Ustaz perlu rehat sehingga kesihatannya benar-benar pulih seperti sedia kala,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya