KUALA TERENGGANU: Tahap kesihatan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai Ustaz UAI semakin stabil selepas menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, sejak Rabu lalu.
Menurut sumber, Ustaz Azhar yang dipercayai mengalami masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung masih dalam pemantauan doktor.
“Alhamdulillah kesihatan Ustaz Azhar semakin baik dan stabil. Ustaz Azhar juga boleh bercakap dan menerima kunjungan beberapa pelawat di hospital itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah pula memberitahu, dia berkesempatan menziarahi Ustaz Azhar semalam dan berada dalam keadaan sihat.
“Perkembangan kesihatan Ustaz Azhar cukup baik dan dia semakin gagah (sihat).
“Insya-Allah Ustaz Azhar dijangka dapat keluar dari hospital esok sekiranya kesihatannya dilaporkan baik,” ujarnya.
Sebelum itu beberapa tokoh agama dan pemimpin politik menziarahi Ustaz Azhar termasuk tokoh agama Indonesia, Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu. – UTUSAN