KUALA NERUS: UMNO mengambil sikap untuk terus husnuzon iaitu bersangka baik terhadap hubungan kerjasama yang dibentuk bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini, status MN bergantung kepada barisan kepimpinan Pas dan UMNO selepas ini sama ada ingin mengambil jalan mufaraqah atau sebaliknya.
Menurutnya, selain itu, pertukaran kepimpinan selepas ini juga mungkin akan berubah hala tuju dalam hubungan tersebut.
“Kita harus mempunyai fikiran yang progresif demi kepentingan ummah keseluruhannya, namun dalam situasi sekarang, saya tidak nampak bila itik yang patah kaki harus kita sambung kakinya untuk berenang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pengenalan calon pemilihan UMNO peringkat negeri Terengganu di sini, hari ini.
Ahmad zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa ini, pihaknya akan terus mengambil pendekatan berfikiran secara progresif untuk kepentingan ummah.
“Sebaliknya, UMNO berhasrat untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan yang menerajui negara ketika ini,’ ujarnya. – UTUSAN